Senin, 28 Januari 2013

Gulai Nasi Berlauk Kelantan






Selamat bercuti sempena hari Thaipusam kepada semua pembaca blog Azie Kitchen. Ini adalah entri semalam iaitu hari minggu di mana saya telah memasak Gulai Nasi Berlauk Kelantan yang memang menjadi hidangan untuk sarapan orang Kelantan. Saya belajar resepi ini dari Kak Yah, kawan senegeri yang dikenali semasa ke surau Ad Dhuha. Baru baru ini, saya telah menggunakan resepi ini juga tetapi untuk menyediakan Gulai Telur Masin yang diletakkan sekali belimbing buluh. Kesedapan gulai tersebut menyebabkan saya memasaknya sekali lagi. Tetapi kali ini, menggunakan ikan yang direbus dan dibiarkan semalaman.  

Gulai ini sedap dimakan dengan sambal yang dipanggil oleh orang Kelantan sebagai sambal lada di mana, ianya menggunakan cili kering dan ada juga yang menggunakan cili padi atau dipanggil lada cengek.  Bagai melengkapkan hidangan lauk nasi berlauk, saya masukkan sekali ikan kering yang dicelur seketika dengan gula dan juga timun di samping belimbing buluh. Kalau tak ada belimbing buluh, bolehlah digunakan asam keping.

 


Gulai Ikan Nasi Berlauk Kelantan

Bahan bahan:
Ikan rebus
Bawang merah
Bawang putih
Kunyit hidup
Lengkuas
Sedikit cili kisar (tak mahu letak pun, tak apa)
Cili hidup (cili solok, lagi sedap)
Garam
Sedikit gula/ajino moto
Asam keping
Santan
Timun dan kacang panjang
Ikan kering, jika suka

Cara cara:
Ikan direbus dengan garam dan asam keping. Kalau dibiarkan semalaman, lagi sedap dan mesra. Jika suka, celurkan ikan kering dengan merebus air hingga mendidih, masukkan sedikit gula dan celur ikan kering seketika. Angkat dan tos.

Kisar bawang merah, putih, kunyit dan lengkuas. Masukkan bahan kisar ke dalam santan. Masak atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga menggelegak. Masukkan asam keping, garam dan serbuk perasa.

Akhir sekali masukkan ikan rebus, cili hidup, timun dan kacang panjang. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. Hidangkan dengan nasi putih serta sambal belacan. 








Tidak ada komentar:

Posting Komentar